Bolehkah Solat Sunat Ketika Khutbah Jumaat?


Bolehkah Solat Sunat Ketika Khutbah Jumaat?

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz. Bolehkah kita menunaikan solat sunat semasa khutbah Jumaat sedang disampaikan? Mohon pencerahan hukum masalah ini.

Jawapan:

Terdapat 2 situasi berkaitan melakukan solat sunat ketika imam sedang menyampaikan khutbah iaitu:

1. Seseorang yang masuk ke masjid, sedangkan imam sedang menyampaikan khutbah.

Disebutkan di dalam Matan Abi Syuja':

"Barangsiapa yang masuk ke dalam masjid padahal imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia solat dua rakaat yang ringkas kemudian barulah dia duduk."

Menurut Sheikh al-Ramli, yang dimaksudkan dengan "solat yang ringkas" itu adalah meninggalkan perbuatan memanjangkan solat mengikut uruf. Manakala menurut Sheikh Ibn Hajar dan al-Khatib al-Syirbini pula, yang dimaksudkan dengan "solat yang ringkas" itu adalah dengan meringkaskan solat solat tersebut sekadar memenuhi kewajipan sahaja iaitu sekadar melaksanakan perkara yang wajib (rukun) sahaja (al-Manhal al-Naddhokh).

Justeru menurut Mazhab Syafi'i dan Hambali, sunat melaksanakan solat tahiyyatul masjid bagi seseorang yang memasuki masjid padahal imam sedang berkhutbah. Manakala menurut Mazhab Hanafi dan Maliki, makruh melaksanakan solat tahiyyatul masjid bagi seseorang yang memasuki masjid padahal imam sedang berkhutbah (al-Fiqh al-Islamiwa Adillatuhu).

2. Seseorang yang telah sedia hadir dalam masjid sebelum imam menyampaikan khutbah Jumaat. Menurut pendapat yang muktamad, haram baginya menunaikan solat ketika imam sedang berkhutbah sama ada solat fardhu mahupun solat sunat (al-Baijuri).

Wallahu a'lam
Dikuasakan oleh Blogger.