Senarai Susunan Darjah Kebesaran Persekutuan


Senarai Susunan Darjah Kebesaran Persekutuan

Darjah Kebesaran Persekutuan adalah merupakan anugerah darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kepada pemimpin dan rakyat Malaysia yang telah berjasa, berkorban dan berbakti kepada negara serta para pembesar dan para diplomat negara-negara asing.

Berikut adalah senarai anugerah Darjah Kebesaran Persekutuan mengikut susunan keutamaan.

Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.)

Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) merupakan pangkat yang tertinggi antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa. Darjah-darjah Perkasa merupakan darjah kelapan antara sepuluh Anugerah Diraja Malaysia. S.P. juga merupakan anugerah yang tertinggi sekali dan yang paling kanan dalam senarai keutamaan anugerah Persekutuan.

Bintang Kehormat S.P. dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang telah menunjukkan keberanian luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani serta penuh pengorbanan.

Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M.)


Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M.) merupakan darjah yang tertinggi antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. Anugerah ini dikurniakan kepada setiap Baginda Raja yang telah menjadi Yang Dipertuan Agong. Bilangan ahlinya terhad seramai sepuluh orang sahaja.

Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.)


Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) merupakan darjah yang kedua antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. D.M.N. ini dikurniakan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang baru sahaja ditabalkan di negerinya. Bilangan ahli D.M.N. terhad kepada 30 orang.

Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.)


Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) merupakan pangkat yang tertinggi dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). YMPN merupakan darjah ketiga antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. Dikurniakan sebagai penghormatan yang istimewa kepada mereka yang telah berjasa dengan cemerlang kepada negara dan berpengaruh tinggi sesuai dengan kedudukan mereka.

Penyandang Darjah ini membawa gelaran 'Tun' dan isteri penyandang bergelar 'Toh Puan'. S.M.N. terhad kepada 25 orang, tidak termasuk jumlah warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat.

Seri Setia Mahkota (S.S.M.)


Seri Setia Mahkota (S.S.M.) merupakan pangkat yang tertinggi antara tiga pangkat dalam Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia (YMSMM). YMSMM merupakan darjah keempat antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.

Anugerah S.S.M. membawa gelaran 'Tun' dan isteri penyandang 'Toh Puan'. Anugerah ini terhad kepada 25 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Darjah Bakti (D.B.)

Darjah Bakti (D.B.) merupakan darjah ketujuh antara sepuluh Anugerah Diraja Malaysia. Darjah ini dikurniakan kepada rakyat Malaysia yang telah masyhur namanya, baik di Malaysia mahupun antarabangsa, serta telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam kemajuan seni, sains dan kemanusiaan. Anugerah ini terhad seramai sepuluh orang sahaja.

Panglima Mangku Negara (P.M.N.)

Panglima Mangku Negara (P.M.N.) adalah Darjah Pangkat Kedua dalam keluarga Darjah-darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN) dan Kelas Pertama bagi kurniaan 'Tan Sri'. Penyandangnya bergelar 'Tan Sri' dan isteri 'Puan Sri'.

Dikurniakan kepada mereka yang ternama dan bertaraf tinggi yang telah memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara. Bagi pegawai kerajaan, pengurniaan ini sesuai bagi mereka yang berada di Tingkatan Turus I. P.M.N terhad kepada 75 orang sahaja dan tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Panglima Setia Mahkota (P.S.M.)

Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) merupakan pangkat kedua antara tiga pangkat dalam Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia (YMSMM). Anugerah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) ini membawa gelaran 'Tan Sri' dan isteri 'Puan Sri'. P.S.M. terhad kepada kepada 450 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Panglima Jasa Negara (P.J.N.)


Panglima Jasa Negara (P.J.N.) merupakan pangkat yang tunggal dalam darjah Yang Mulia Jasa Negara (YMJN). YMJN merupakan darjah kelima antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.

Anugerah ini membawa gelaran 'Datuk'. Darjah P.J.N. ini terhad kepada 300 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Panglima Setia Diraja (P.S.D.)


Panglima Setia Diraja (P.S.D.) merupakan pangkat yang tertinggi dalam Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja (YADSD). YADSD merupakan darjah keenam antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.

Anugerah P.S.D. ini membawa gelaran 'Datuk' dan isteri 'Datin'. Anugerah ini terhad kepada 200 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Johan Mangku Negara (J.M.N.)


Johan Mangku Negara (J.M.N.) merupakan pangkat ketiga antara enam pangkat dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). YMPN merupakan darjah ketiga antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. Jumlah penyandang J.M.N. terhad kepada 1,000 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Johan Setia Mahkota (J.S.M.)


Johan Setia Mahkota (J.S.M.) merupakan pangkat terakhir antara tiga pangkat dalam Darjah Yang Mulia Seri Mahkota Malaysia (YMSMM). YMSMM merupakan darjah keempat antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. Jumlah anugerah J.S.M. terhad kepada 1,200 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

Johan Setia Diraja (J.S.D.)

Johan Setia Diraja (J.S.D.) merupakan pangkat kedua antara pangkat dalam Darjah-darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja (YADSD). YADSD pula merupakan darjah keenam antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.

Pangkat Johan Setia Diraja (J.S.D.) dianugerahkan kepada mereka yang telah menunjukkan perkhidmatan yang cemerlang serta kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Anugerah ini tidak mempunyai sebarang had untuk bilangan kurniaannya.

Mereka yang layak untuk menerima anugerah ini termasuk pegawai-pegawai awam dalam kumpulan 'A', Angkatan Tentera, Pasukan Polis, serta orang awam. Warganegara asing juga layak untuk anugerah kehormat ini.

Kesatria Mangku Negara (K.M.N.)


Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) merupakan pangkat keempat antara enam pangkat dalam darjah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). Jumlah penyandang K.M.N. tidak terhad.

Kesatria Setia Diraja (K.S.D.)

Kesatria Setia Diraja (K.S.D.) merupakan pangkat ketiga antara pangkat dalam Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja (YADSD). YADSD merupakan darjah keenam antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.

Ahli Mangku Negara (A.M.N.)


Ahli Mangku Negara (A.M.N.) merupakan pangkat kelima antara enam pangkat dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). YMPN merupakan darjah ketiga antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. Jumlah penyandang A.M.N. tidak terhad.

Pingat Pangkuan Negara (P.P.N.)


Pingat Pangkuan Negara (P.P.N.) merupakan pangkat terakhir antara enam pangkat dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). YMPN merupakan darjah ketiga antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. Jumlah penyandang Pingat Pangkuan Negara (P.P.N.) tidak terhad.

Bentara Setia Diraja (B.S.D.)


Bentara Setia Diraja (B.S.D.) merupakan pangkat yang terakhir antara empat pangkat dalam Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja (YADSD). YADSD merupakan darjah keenam antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia.

Panglima Gagah Berani (P.G.B.)


Panglima Gagah Berani (P.G.B.) merupakan pangkat yang kedua antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa. Darjah-darjah Gagah Perkasa merupakan darjah kelapan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. P.G.B. dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa ketika berhadapan dengan musuh.

Jasa Perkasa Persekutuan (J.P.P.)

Jasa Perkasa Persekutuan (J.P.P.) merupakan pangkat yang ketiga antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa. Darjah-darjah Gagah Perkasa merupakan darjah kelapan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. J.P.P. dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa di medan peperangan.

Pingat Tentera Udara (P.T.U.)

Pingat Tentera Udara (P.T.U.) merupakan pangkat yang keempat antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa. Darjah-darjah Gagah Perkasa merupakan darjah kelapan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. P.T.U. dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana keperwiraan atau taat setia teristimewa ketika menjalankan kewajipan penerbangan dalam masa operasi ataupun tidak.

Pingat Kebaktian (P.K.)

Pingat Kebaktian (P.K.) merupakan pangkat yang tertinggi antara empat pangkat dalam darjah Bintang dan Pingat bagi perkhidmatan cemerlang dan kelakuan terpuji. Darjah ini merupakan darjah kesembilan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. P.K. dikurniakan untuk mengiktiraf dang menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji untuk anggota-anggota pasukan Tentera Sukarela dan Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

Pingat Khidmat Berbakti (P.K.B.)

Pingat Khidmat Berbakti (P.K.B.) merupakan pangkat kedua antara empat pangkat dalam darjah Bintang dan Pingat bagi perkhidmatan cemerlang dan kelakuan terpuji. Darjah ini merupakan darjah kesembilan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. P.K.B. dikurniakan kerana khidmat-khidmat am anggota-anggota Angkatan Tentera dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

Pingat Perkhidmatan Setia (P.P.S.)


Pingat Perkhidmatan Setia (P.P.S.) merupakan pangkat yang terakhir antara empat pangkat dalam darjah Bintang dan Pingat bagi perkhidmatan cemerlang dan kelakuan terpuji. Darjah ini merupakan darjah kesembilan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. P.P.S. dikurniakan untuk menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji anggota tetap Angkatan Tentera dan semua Pasukan Beruniform di Malaysia.

Kepujian Peruntukan Keberanian (K.P.K.)


Kepujian Peruntukan Keberanian (K.P.K.) merupakan pangkat yang terakhir antara lima pangkat dalam darjah-darjah Gagah Perkasa. Darjah-darjah Gagah Perkasa merupakan darjah kelapan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. K.P.K. dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera dan Pasukan Polis Malaysia yang telah menunjukkan atau melakukan sesuatu yang dianggap gagah berani tetapi tindakan itu tidaklah sebegitu tinggi untuk membolehkan mereka dikurniakan pingat.

Pingat Perkhidmatan Am (P.P.A.)


Pingat Perkhidmatan Am (P.P.A.) merupakan pangkat ketiga antara empat pangkat dalam darjah Bintang dan Pingat bagi perkhidmatan cemerlang dan kelakuan terpuji. Darjah ini merupakan darjah kesembilan antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia. P.P.A. dikurniakan untuk mengiktiraf dan menghargai khidmat lama dan terpuji anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

Pingat Peringatan Malaysia (P.P.M.)


Pingat Perkhidmatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu


Pingat Jasa Malaysia (P.J.M.)


Pingat Pertabalan (P.P.)
Dikuasakan oleh Blogger.