Darjah Kebesaran, Bintang & Pingat Negeri Perak


Darjah Kebesaran, Bintang & Pingat Negeri Perak

Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan atau Darjah Kebesaran Diraja Perak merupakan darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak bersempena Hari Keputeraan Sultan Perak pada setiap tahun kepada mereka yang telah berjasa kepada Negeri Perak Darul Ridzuan khasnya dan Negara amnya.

Pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar sebagai istana rasmi Sultan Perak untuk menganugerahkan anugerah darjah kebesaran tertinggi mahupun anugerah-anugerah lain negeri.

Berikut adalah senarai darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Perak Darul Ridzuan.

Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.)
Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) merupakan darjah kebesaran yang dikurniakan khusus kepada Raja Pemerintah dan Raja Permaisuri, Bakal Sultan Perak (Raja Muda) dan Raja Pemerintah negeri-negeri lain.

Darjah Kerabat Seri Paduka Sultan Azlan Shah Yang Dihormati (D.K.S.A)
Darjah Kerabat Seri Paduka Sultan Azlan Shah Yang Dihormati (D.K.S.A.) merupakan darjah kebesaran yang dikurniakan khas kepada ahli-ahli Kerabat Diraja Negeri Perak.

Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Amat Dimulia (S.P.S.A)
Darjah Kebesaran Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Amat Dimulia (S.P.S.A) merupakan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada seseorang sebagai penghormatan yang amat istimewa, mempunyai kedudukan yang amat berpengaruh dan bertanggungjawab. Darjah ini membawa gelaran "Dato' Seri Diraja".

Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M)
Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (S.P.C.M) dikurniakan sebagai suatu kehormatan yang istimewa menandakan rekod kejayaan besar yang telah dicapai dan kepada mereka yang menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri. Darjah ini membawa gelaran "Dato' Seri".

Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S)
Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S) merupakan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera yang berpangkat Leftenan Jeneral ke atas dan kepada anggota-anggota polis yang berpangkat Timbalan Ketua Polis Negara ke atas. Darjah ini membawa gelaran "Dato' Seri Panglima".

Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P)
Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (S.P.M.P) dikurniakan kepada mereka yang telah menyumbangkan perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri ini semenjak beberapa lama dengan mempunyai kedudukan yang amat berpengaruh dan bertanggungjawab. Darjah ini membawa gelaran "Dato' Seri".

Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (D.P.C.M)
Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (D.P.C.M) dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam kumpulan pengurusan dan profesional dan telah mencapai sekurang-kurangnya Gred 54. Darjah ini membawa gelaran "Dato".

Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S)
Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S) dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera yang berpangkat Brigedier Jeneral hingga Mejar Jeneral dan kepada anggota-anggota polis yang berpangkat Penolong Kanan Pesuruhjaya hingga Timbalan Pesuruhjaya. Darjah ini membawa gelaran "Dato' Pahlawan".

Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P)
Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P) dikurniakan kepada mereka yang mempunyai kedudukan tinggi yang terkenal kepada perkhidmatan cemerlangnya kepada Negeri Perak dalam apa-apa jua lapangan kehidupan. Darjah ini membawa gelaran "Dato".

Darjah Paduka Si Manja Kini (P.C.M)
Darjah Paduka Si Manja Kini (P.C.M) dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam kumpulan pengurusan dan profesional yang menyandang pangkat tidak rendah dari Gred 2 atau setaraf dengannya dan kepada anggota-anggota pasukan tentera dan polis yang berpangkat Kolonel (Tentera Darat), Kapten (Tentera Laut) dan Kolonel Udara (Tentera Udara). Penolong Pesuruhjaya (Pasukan Polis) dan ke atas.

Darjah Paduka Mahkota Perak (P.M.P)
Darjah Paduka Mahkota Perak (P.M.P) dikurniakan kepada pegawai-pegawai Kerajaan dalam kumpulan pengurusan dan profesional yang menyandang pangkat tidak rendah dari Gred 2 atau setaraf dengannya.
Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera dan polis yang berpangkat Kolonel (Tentera Darat), Kapten (Tentera Laut), Kolonel Udara (Tentera Udara), Penolong Pesuruhjaya (Pasukan Polis) dan ke atas.

Darjah Ahli Si Cura Manja Kini (A.C.M)
Darjah Ahli Si Cura Manja Kini (A.C.M) dikurniakan kepada mereka yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri dan dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan sekurang-kurangnya dalam kumpulan pengurusan dan profesional Gred 3.

Darjah Ahli Mahkota Perak (A.M.P)
Darjah Ahli Mahkota Perak (A.M.P) dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan sekurang-kurangnya dalam kumpulan pengurusan dan profesional Gred 3 yang berkebolehan istimewa dan kepada mereka yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada negeri.
Dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera dan polis yang berpangkat Kapten dan Mejar (Tentera Darat), Leftenan dan Leftenan Komander (Tentera Laut), Kapten Udara dan Mejar Udara (Tentera Udara), Penolong Penguasa dan Timbalan Penguasa (Pasukan Polis).

Pingat Keberanian Handal (P.K.H)
Pingat Keberanian Handal (P.K.H) dikurniakan kepada seseorang yang melakukan sesuatu keberanian yang tersangat handal dan keberanian itu dilakukan dalam keadaan yang mendatangkan bahaya yang besar kepada dirinya sendiri.

Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T)
Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) dikurniakan kepada seseorang yang melakukan perbuatan bersifat kelakuan yang cemerlang dan berani.
Dikurniakan kepada pegawai-pegawai kerajaan dalam kumpulan sokongan ke atas.
Dikurniakan kepada kepada anggota-anggota pasukan tentera dan polis yang berpangkat sekurang-kurangnya Leftenan Muda (Tentera Darat, Laut dan Udara) dan Inspektor (Pasukan Polis).

Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K)
Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dikurniakan kepada seseorang yang telah berjasa kepada Negeri dan dikurniakan kepada anggota-anggota pasukan tentera dan polis yang berpangkat Pegawai Waran (Tentera Darat, Laut dan Udara), Sub Inspektor (Pasukan Polis) dan ke bawah.

Pingat Lama Perkhidmatan (P.L.P)
Pingat Lama Perkhidmatan (P.L.P) dikurniakan kepada seseorang yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang dengan lama dan taat setia kepada Negeri Perak tidak kurang daripada 25 tahun dan perkhidmatan itu menunjukkan kebolehan yang memberi teladan yang baik serta kecekapan dan taat setia.
Dikuasakan oleh Blogger.