Biodata Irfan Khairi Jutawan Internet


Biodata Irfan Khairi Jutawan Internet

Irfan Khairi adalah nama yang sudah tidak asing lagi di negara ini malah beliau cukup dikenali ramai terutamanya golongan muda. Beliau dikenali sebagai seorang pakar yang terkenal dalam dunia Internet. Irfan Khairi adalah seorang pakar perniagaan Internet dan juga jutawan Internet di Malaysia.

Irfan Khairi juga merupakan jururunding yang giat menganjurkan seminar mengenai perniagaan melalui Internet. Beliau mempunyai peminat yang sangat ramai, terbukti melalui kehadiran peserta yang begitu ramai dalam setiap kursus yang dianjurkan oleh beliau.

Biodata Irfan Khairi

Nama sebenarnya ialah Noor Irfan Khairi Noor Azmi. Dilahirkan pada 17 Disember 1976. Berasal dari Perak dan dibesarkan di Selangor. Irfan Khairi mendapat Ijazah Sarjana Muda Multimedia Design dari Staffordshire University, United Kingdom.

Selepas menamatkan pengajian di United Kingdom, Irfan telah menerima tawaran bekerja di salah satu syarikat IT terbesar di Birmingham, Netmedia (UK) Ltd. Sebagai pereka cipta sistem multimedia dan perunding Internet, beliau bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di United Kingdom yang dinamakan Learning Grid. Pada ketika ini, lebih dari 5,000 buah sekolah-sekolah di United Kingdom menggunakan sistem Learning Grid tersebut.

Oleh kerana minat dan latar belakangnya yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau memulakan perniagaannya sendiri di Internet secara sambilan pada tahun 1999. Selepas mendapati perniagaan Internetnya lebih menguntungkan berbanding pendapatan bekerja 9-5, beliau mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan Internet miliknya selepas setahun beroperasi.

Semenjak itu, Irfan hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan hanya menggunakan laptop dan Internet. Dalam masa 3 tahun beliau memperolehi untung bersih sebanyak RM1 juta dengan modal permulaan hanya RM500. Ketika itu, beliau berusia 25 tahun. Sehingga hari ini, Irfan Khairi masih bekerja sepenuh masa di rumah menggunakan Internet sebagai sumber pendapatan.

Perniagaan Internet di bawah IdeaBubble, sehingga kini telah berkhidmat untuk lebih dari 3,000 pelanggan dari serata dunia. Kebanyakkannya dari USA, UK, negara-negara Eropah, hingga ke Timur Tengah, Jepun dan Australia. Antara perniagaan-perniagaan yang berjaya termasuk merekacipta E-book, merekacipta laman web dan grafik, perkhidmatan SEO (Search Engine Optimization), menjual peta, penempahan hotel dan juga perunding Multimedia, E-Niaga dan pembelajaran.

Irfan Khairi juga menulis buku Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris iaitu Secret of Internet Millionaires Revealed untuk menunjukkan cara dirinya dan jutawan-jutawan Internet yang lain menggunakan Internet sebagai sumber pendapatan yang lumayan serta siri buku nota jutawan.

Atas inspirasi yang ditunjukkan, beliau telah menerima anugerah Young Innovation Award 2006 daripada Oxford Association of Management, United Kingdom. Ianya dianugerahkan atas usaha beliau dalam mendidik dan memberi inspirasi sebagai generasi baru Malaysia dalam bidang Internet dan Kejayaan.
Dikuasakan oleh Blogger.