Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej Mangkat


Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej Mangkat

Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, 88, yang menerima rawatan di Hospital Siriraj, Bangkok telah mangkat pada 13 Oktober 2016 hari Khamis jam 3.55 petang waktu tempatan. Kemangkatan raja paling lama menduduki takhta itu disahkan oleh pihak istana.

Sejak sedekad lalu, tahap kesihatan Raja Bhimibol semakin merosot, dan pada tahun ini buat kali pertamnya baginda 'dilepaskan' daripada mengikuti tugas-tugas kenegaraan atas nasihat doktor. Kali terakhir baginda dilihat dikhalayak ramai pada 11 Januari lepas, selepas itu baginda dikatakan lebih banyak menghabiskan masa di istana dan hospital kerana penyakit yang dialami baginda.

Laporan kesihatan terakhir daripada doktor menyatakan baginda mengalami komplikasi pada organ penting iaitu ginjal dan hati. Sementara itu, bendera Thailand akan dikibarkan separuh tiang selama 30 hari dan tempoh berkabung adalah selama setahun.

Bhimibol dilahirkan di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat pada 5 Disember 1927 sewaktu bapanya menuntut di Universiti Harvard.

Setelah menghabiskan masa tahun-tahun terawal usia kanak-kanak baginda di Bangkok, Bhumibol ke Switzerland pada 1933, untuk meneruskan pengajian di Ecole Nouvelle de la Suisse Romande di Lausanne.

Kemudian pada tahun 1945, baginda menyambung pengajian di Universiti Lausanne dalam bidang sains sewaktu abangnya, Ananda Mahidol mengambil alih takhta sebagai raja sejak tahun 1935. Namun, kemangkatan misteri Mahidol pada Jun 1946 dalam satu insiden tembakan, secara tidak langsung membuatkan penyandang takhta negara itu diganti Bhumibol.

Bhumibol ditabal secara rasmi sebagai Raja Thailand pada 5 Mei 1950 di Istana Diraja, Bangkok. Sepanjang menduduki takhta baginda melakar sejarah Thailand antaranya dengan memperkenal sistem demokrasi dan menjadi pengaman setiap kali ada krisis politik.

Baginda juga disanjung tinggi sebagai raja yang sentiasa mengambil berat tentang isu yang dihadapi rakyatnya seperti kos sara hidup, kebajikan, pendidikan, ancaman dadah dan hal berkaitan keganasan. Pernah tercatat dalam senarai raja paling kaya oleh Forbes, baginda banyak menyalurkan hartanya demi kepentingan ramai iaitu dengan menyumbang dalam projek infrastruktur, komunikasi, alam sekitar, kesihatan dan pertanian. Pada 9 Jun 2016 lalu, genap 70 tahun baginda menjadi Raja Thailand.

Di atas kemangkatan Raja Bhumibol itu, Putera Mahkota Maha Vijiralongkorn, 64, akan menaiki takhta menggantikan bapanya sebagai Raja Thailand.

0 comment... add one now