Acey & Fad Bocey Terkilan, Anggap Diri Orang Luar

fad dan achey

Dek kerana krisis keluarga sahabat baik mereka, Allahyarham Abam yang hingga kini menjadi bualan hangat, anggota kumpulan Bocey iaitu Achey dan Fad menyatakan perasaan terkilan.

Kata Achey, isu sedemikian tidak sepatutnya berlaku apatah lagi berkaitan harta ditinggalkan yang boleh diurus secara faraid.

"Apa yang berlaku adalah masalah dalaman keluarga. Jadi, sewajarnya ia dibincangkan dan diselesaikan secara tertutup.

Aib Keluarga Harus Disimpan

"Aib keluarga itu harus disimpan. Sebenarnya saya sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana kematian Abam dalam keadaan sangat baik," katanya.

Bagi Achey dia tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tetapi menyarankan pihak keluarga arwah dan balunya, Nor Hidayah Mohd Ali bersama-sama ke pejabat agama untuk menyelesaikan secara baik.

"Isu harta membabitkan pembahagian faraid ini sewajarnya diselesaikan mengikut perundangan agama dan kedua-dua pihak rujuklah dengan pejabat agama.

"Apapun, saya mengharapkan perkara ini dapat diselesaikan segera di antara sesama keluarga. Usah dibiar terus berpanjangan,' katanya.

Hanya Orang Luar

Apabila ditanya oleh wartawan adakah Fad dan Achey mahu menyelesaikan masalah itu, Achey berkata, sebagai sahabat rapat arwah dan walaupun tahu sedikit sebanyak cerita sebenar tetapi mereka adalah orang luar.

"Ini masalah keluarga arwah. Sebagai sahabat akrab, saya dan Fad masih tahu tahap batas kami. Serapat mana hubungan kami bertiga dalam Bocey sejak dulu, kami tak boleh campur tangan masalah keluarga mereka. Kami orang luar. Apa yang boleh dilakukan hanya memberi nasihat, pandangan dan pendapat. Selebihnya, terpulang pada mereka sama ada Ali sekeluarga dan Hidayah mahu menerima atau tidak," katanya.

Mereka juga mengulas tindakan Hidayah yang didakwa membuka mulut bercerita sendiri dalam temuramah secara langsung bersama usahawan, Datuk Aliff Shukri, Achey berkata, wanita itu membuat perkongsian pada pihak yang salah.

“Pihak berkenaan pun orang luar dan tidak sepatutnya perkara sensitif membabitkan hal dalam keluarga dikongsikan sebegitu. Perkara yang bagi saya masih boleh dibawa berbincang dan untuk itu tidak perlu dikongsikan kepada umum iaitu pihak luar yang merakamnya pula dan dimuat naik ke media sosial," katanya.

Dalam pada itu, Fad berkata, dia mendoakan yang terbaik buat dua keluarga itu.

Dia dan Achey lebih memberi perhatian kepada anak Abam iaitu Syed Uthman Hamzah Al Juffrey.

"Hamzah masih kecil dan baru berusia lapan bulan. Dia pun rasanya belum betul-betul dapat kenal dengan arwah bapanya.

"Tanggungjawab saya dan Achey memastikan Hamzah mendapat kasih sayang seorang bapa yang diperlukan. Kami selalu saja melawat Hamzah dan ibunya untuk mengetahui perjalanan kehidupan mereka," katanya.

Achey dan Fad ditemui media selepas majlis tahlil Allahyarham Abam yang dianjurkan Astro di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu di kediamannya di Gombak.

Terdahulu Abam dikatakan demam beberapa hari sebelum meninggal dunia. Abam meninggalkan seorang balu dan seorang anak yang kini masih kecil.

Pemergian Abam Bocey telah menggemparkan negara Malaysia dan seluruh peminat dan rakyat Malaysia mengangisi pemergiannya.

Ramai rakyat Malaysia serta kenamaan yang hadir ke kediaman Abam bagi memberikan penghormatan terakhir kepadanya.

Pemergian Abam sungguh dirasai sehingga kini. Semoga arwah Abam ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Dikuasakan oleh Blogger.