Biodata Ustaz Azhar Idrus


Biodata Ustaz Azhar Idrus

Nama Ustaz Azhar Idrus atau UAI sudah tidak asing lagi di negara ini malah beliau turut dikenali di luar negara. Ustaz Azhar Idrus semakin mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya golongan muda kerana beliau mudah mesra dan serasi dengan golongan muda malah beliau turut mengikuti perkembangan golongan muda.

Ceramahnya yang bersahaja, diselit dengan jawapan yang lucu tetapi tepat, padat dan mengena serta pekat berbahasa Terengganu membuatkan ramai yang meminatinya. Ramai yang hadir ke caramahnya kerana meminati gaya penyampaiannya. Malah orang ramai boleh bertanya soalan secara terus dan dijawab secara spontan.

Dalam usaha untuk membawa masyarakat mendekatkan diri dengan majlis-majlis ilmu. Pendekatan yang dibawa Ustaz Azhar Idrus membuktikan bahawa ianya berjaya dan diterima baik oleh masyarakat apabila beliau berjaya menarik ramai jemaah ke masjid tidak kira tempat sehingga penuh satu masjid setiap kali beliau menyampaikan ceramah. Malah ramai yang tertunggu-tunggu untuk mendengar ceramah beliau.

Ustaz Azhar Idrus juga turut popular di Youtube apabila ribuan penonton yang menonton rakaman video ceramahnya yang telah dimuatnaik. Beliau juga pernah muncul di dalam filem Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang!.

Latar Belakang

Ustaz Azhar Idrus adalah seorang penceramah bebas di Malaysia yang berasal dari Terengganu. Beliau mempunyai tiga orang isteri dan dikurniakan lapan orang anak hasil dari perkahwinannya itu. Beliau dilahirkan pada 12 Februari 1964 di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu.

Ustaz Azhar Idrus mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Hj Mohd Sharif, Alor Setar, Kedah. Seterusnya bersekolah di Sekolah Menengah Darul Aman, Alor Setar, Kedah sehingga tingkatan 2. Apabila memasuki tingkatan 3 beliau berpindah ke negeri kelahirannya dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu sehingga tamat tingkatan 6. Beliau tidak pernah belajar di Sekolah Arab, Sekolah Pondok, Madrasah atau Sekolah Agama.

Beliau mula belajar agama sekitar tahun 1990 setelah rakannya menghilangkan diri dan belajar agama di Patani. Sejak itu beliau mula berguru dengan Tuan Guru Syed Mokhtar (Bertalaqi kitab-kitab jawi), Tuan Guru Mohd Tahir (Kitab jawi), Tuan Guru Mohd Hakim (Nahu, Sorof, Usul Fiqh, Mustolah Hadith, Usul Quran dan Balaghah), Tuan Guru Hj Hasyim (Nahwu, Sorof, Fiqah, Tafsir dan Faraidh), Tuan Guru Hj Ibrahim Mesir (Sirah Nabawi dan Lughah Arabiyah), Tuan Guru Hj Muhammad Zubir (Ilmu Fiqh dan Nahu) dan Tuan Guru Hj Mohd Zain (Fiqh, Nahwu, Sorof, Tafsir dan Balaghah).

Dengan berbekalkan sedikit ilmu yang diperolehi, Ustaz Azhar Idrus mula mengajar di sekitar Surau Ladang.

Sepintas Lalu

Dahulunya Ustaz seorang pemain gitar dalam satu kumpulan band muzik sekitar Kuala Terengganu "band boy" dan sempat membuat beberapa persembahan di stadium-stadium. Setelah kumpulan muziknya mengambil keputusan untuk membuat rakaman, beliau menarik diri kerana tujuannya hanya suka-suka sahaja menyertai kumpulan muzik, bukannya untuk mencari glamour.

Ustaz juga aktif bersukan dan pernah mewakili Terengganu dalam acara berbasikal pada tahun 1980an. Dan menjadi rutin kelapangan masa waktu malam, Ustaz akan berbasikal meronda sekitar Bandar Kuala Terengganu bersama kawan-kawannya. Ada juga yang meminta Ustaz untuk merasmikan program berbasikal.

Ustaz Azhar pernah bekerja dengan Utusan Malaysia cawangan Kuala Terengganu sebagai artis grafik. Selepas berkahwin seminggu pada 1990, Ustaz mengambil keputusan berhenti kerja dan bekerja mencanting batik dan ketika inilah beliau mempelajari ilmu agama secara bersungguh-sungguh. Tiada alasan baginya hujan dan ribut. Beliau sendiri pergi mencari guru-guru agama dan belajar dirumah atau pondok guru berkenaan.

Perubahan diri Ustaz ke arah seorang yang bersungguh belajar agama kerana kawan baiknya seorang bekas ketua kumpulan "Punk" menghilangkan diri selama 5 tahun dan apabila muncul kembali, kawannya itu telah berubah dengan perubahan yang amat ketara dari segi pemakaian dan tingkah lakunya. Tahulah Ustaz bahawa selama ini kawannya itu belajar di Patani selama "kehilangannya". Apabila melihat kehebatan kawannya itu, timbul rasa ingin menjadi seperti rakannya itu juga, maka Ustaz Azhar pun mula mendalami ilmu agama.

Pok Mang Disisi Ustaz

Pok Mang adalah pembantu kepada Ustaz Azhar Idrus. Pok Mang, Man Dakwah atau Man Janggut adalah panggilan kawan-kawan kepadanya. Pok Mang yang berasal dari Kampung Ladang adalah seorang nelayan. Dan menjadi kebiasaan Ustaz menyewa botnya untuk memancing di laut. Kesusahan Pok Mang mencari hasil di laut sewaktu musim tengkujuh membuka ruang untuknya bersama dengan Ustaz. Bermula detik ajakan Ustaz supaya Pok Mang menemaninya setiap kali berkuliah sehinggalah menjadi pembantu khas kepada Ustaz sampai ke hari ini.
Dikuasakan oleh Blogger.