Haram Cukur Janggut Bagi Lelaki? Ini Hukumnya Yang Ramai Tak Tahu



Lelaki yang mempunyai janggut nampak lebih macho. Bagi lelaki yang menyimpan janggut hendaklah menjaga janggut supaya nampak kemas. Menyimpan janggut banyak manfaatnya selain itu ianya sunnah Rasulullah SAW apabila mengamalkannya mendapat ganjaran pahala yang besar.

Hukum Janggut Di Sisi Mazhab Empat

Tanpa membahaskan tentang memotong janggut yang lebih dari kadar segenggam atau membiarkannya panjang, para ulama sepakat mengatakan menyimpan janggut adalah sunnah dan diperintah olih syarak. (Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah)

Antara hadith-hadith yang menjadi sumber dan panduan berkenaan hukum janggut adalah seperti berikut :

1. Hadith Ibnu Umar ra dari Nabi saw adalah baginda telah bersabda:

خَالِفُوا المُشْرِكِينَ وَفِّرُوا اللِّحَى وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Artinya: “Hendaklah kamu sekelian menyalahi orang-orang musyrik. Peliharalah janggut dan cukurlah kamu sekelian akan segala misai.” (Hadith Bukhari)

2. Hadith Abi Hurairah ra adalah Rasulullah saw bersabda :

جُزُّوا الشَّوَارِبَ وَأَرْخُوا اللِّحَى خَالِفُوا الْمَجُوسَ

Artinya: “Cukurlah kamu sekelian akan segala misai dan biarkanlah kamu sekelian akan janggut. Berbezalah kamu sekelian akan orang-orang Majusi.” (Hadith Muslim)

3. Hadits Aisyah ra Rasulullah saw bersabda:

عَشْرٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: قَصُّ الشَّارِبِ وَإِعْفَاءُ اللِّحْيَةِ …

Artinya: “Sepuluh perkara yang termasuk fitrah (perintah syarak yang sangat elok) : yaitu mencukur misai dan memelihara janggut, …” (Hadith Muslim)

4. Hadith Ibnu Umar

عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه أمر بإحفاء الشوارب وإعفاء اللحية

Artinya dari Ibnu Umar dari Nabi saw : ”Bahwasannya baginda memerintahkan untuk memotong misai dan memelihara janggutt” (Hadith Muslim).

Walaupun memelihara janggut adalah diperintah oleh agama dan dikira berpahala para ulama tidak sepakat berkenaan hukum memelihara dan memotongnya.

Hukum Mencukur Habis Janggut

Pandangan Jumhur Ulama

Tersebut dalam kitab Mausu’ahtul Fiqhiyyah :

حَلْقُ اللِّحْيَةِ» ذَهَبَ جُمْهُوْرُ الْفُقَهَاءِ : الْحَنَفِيَّةِ وَالْمَالِكِيَّةِ وَالْحَنَابِلَةِ وَهُوَ قَوْلٌ عِنْدَ الشَّافِعِيَّةِ إِلَى أَنَّهُ يَحْرُمُ حَلْقُ اللِّحْيَةِ لأَنَّهُ مُنَاقِضٌ لِلأَمْرِ النَّبَوِيِّ بِإِعْفَائِهَا وَتَوْفِيْرِهَا

Artinya : “Bab tentang mencukur janggut. Berjalan jumhur ulama fiqh yaitu Hanafiyyah, Malikiyah, Hanabilah dan satu pendapat dalam madzhab Syafi’iyah menyatakan bahwa mencukur janggut hukumnya haram, kerana bertentangan dengan perintah Nabi untuk membiarkan dan memelihara janggut hingga sempurna. ”

Pandangan Mazhab Syafie

Pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie ialah makruh mencukur janggut tidak haram.

Tersebut dalam kitab I’anah Tholibin :

المعتمد عند الغزالي وشيخ الإسلام وابن حجر في التحفة والرملي والخطيب وغيرهم: الكراهة

Artinya : Pendapat yang mu’tamad di sisi Imam al-Ghazali, Syeikh Islam, Ibnu Hajar al-Haitamy dalam al-Tuhfah, Syeikh Ramli, Syeikh Khatib dan lainnya adalah makruh mencukur janggut.

Berkata Syeikh ibn Hajar Al-Haitamy :

ذَكَرُوا هُنَا فِي اللِّحْيَةِ وَنَحْوِهَا خِصَالًا مَكْرُوهَةً مِنْهَا نَتْفُهَا وَحَلْقُهَا

Artinya : Mereka (para ulama) telah menyebut di sini berkenaan dengan janggut dan seumpamanya tentang perkara-perkara yang dimakruhkan, di antaranya ialah mencabut dan mencukur janggut. ( Kitab At-Tuhfah )

Hukum Memotong Yang lebih Dari Genggaman

Pendapat yang masyhur disisi mazhab Hanbali dan Hanafi menghendaki dipotong janggut yang panjangnya melebihi genggaman tangan. Sebahagian ulama Hanafi menganggap memotong yang lebih dari segenggam itu adalah sunnah yang wajib manakala sebahagian ulama mazhab Hanbali menganggapnya sebagai harus.

Mereka bersandarkan atsar dari Ibn ‘Umar ra :

إِذَا حَجَّ أَوِ اعْتَمَرَ قَبَضَ عَلَى لِحْيَتِهِ، فَمَا فَضَلَ أَخَذَهُ

Artinya: “(Ibnu ‘Umar) ketika berhaji atau berumrah beliau menggenggam janggutnya, dan yang melebihi genggaman tersebut beliau potong.” (Riwayat Bukhari)

Berkata Muhammad bin Al-Hasan sahabat besar Imam Hanafi :

أخبرنا أبو حنيفة عن الهيثم عن ابن عمر -رضي الله عنهما-: أنه كان يقبض على لحيته ثم يقص ما تحت القبضة. قال محمد: وبه نأخذ، وهو قول أبي حنيفة

Artinya : ”Telah mengkhabarkan kepadaku olih Imam Abu Hanifah dari Al-Haitsam dari Ibnu ’Umar ra : Bahwasannya ia (Ibnu ’Umar) menggenggam janggutnya, kemudian memotong apa-apa yang berada di bawah genggaman tersebut”. Berkata Muhammad (bin Al-Hasan) : Kami mengambil pendapat tersebut. Dan itulah perkataan Abu Hanifah” (Kitab al-Athar)

Ulama mazhab Maliki menyatakan bahawa “Mencukur janggut adalah diharamkan kerana mencukurnya adalah perbuatan keji. Tapi jika ia semakin besar, dan jika memotong tidak dilihat sebagai mencukurnya, maka ia boleh dipotong, tapi ia dikira makruh dan bertentangan dengan apa yang lebih baik.” (Kitab Sharh al-Risalah)

Ulama mazhab Syafie pula berpendapat janggut tidak dipotong tetapi dibiarkan panjang adalah lebih baik.

Berkata Imam Nawawi :

والمختار ترك اللحية على حالها وأن لا يتعرض لها بتقصير شيء أصلا

Artinya : Dan pendapat yang terpilih, ialah membiarkan janggut mengikut keadaan semula jadinya, tanpa memendekkannya sedikitpun pada hukum asalnya. (Kitab Syarah Muslim)

Dan berkata Imam Nawawi lagi : Berkata al-Khithabi dan ulama-ulama selainnya: "Janggut itu dipelihara, dibiarkan dengan tidak dipotong. Memotongnya adalah makruh seperti perbuatan orang-orang a 'jam .(Kitab Al-Majmuk)

Orang Yang Tidak Tumbuh Janggut

Orang-orang yang tidak tumbuh janggut sama sekali tidaklah masuk dalam hukum-hukum berkenaan janggut manakala orang-orang yang janggutnya sedikit maka tidak termasuk dalam larangan memotong janggut kurang dari segenggam.

Kesimpulan

Ulama sepakat bahawa memelihara janggut pendek atau panjang adalah sunnah dan mendapat pahala.

Mencukur janggut atau memotongnya sampai habis adalah dilarang dan dikira menyalahi sunnah lagi haram disisi jumhur ulama dan makruh disisi mazhab Syafie.

Memotong janggut yang lebih dari segenggam adalah digalakkan disisi jumhur ulama.

Membiarkan janggut panjang tanpa dipotong adalah disunatkan disisi mazhab Syafie dan jika dipotong kerana supaya lebih kemas hukumnya harus dan hendaklah jangan kurang dari segenggam.

Menyimpan janggut kadar segenggam atau lebih panjang adalah dibolehkan belaka.

Memotong misai adalah sunnah manakala menyimpan misai adalah harus dengan syarat tidak terlalu panjang.

Orang-orang yang tidak ada janggut tidak termasuk dalam larangan.

Perbezaan pandangan para ulama mujtahid adalah rahmat bagi kita.

Wallahua’lam
Dikuasakan oleh Blogger.