Subhanallah! Arab Saudi Paparkan Kesan Tapak Kaki Nabi Ibrahim Secara Jelas Semasa Membina Kaabah

 


Arab Saudi mengeluarkan foto yang tidak pernah didedahkan sebelum ini yang memaparkan Makam Ibrahim.

Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci dalam kenyataannya berkata, imej itu terhasil menerusi teknik khas. Ia sehari selepas presiden menyiarkan foto Hajarul Aswad dengan imej 49,000 megapixel, lapor Saudi Gazette.

Makam itu meliputi batu dengan bekas tapak kaki Nabi Ibrahim ketika berdiri untuk membina Kaabah apabila temboknya semakin tinggi.

Batu itu dilitupi emas, perak dan diletakkan dalam bingkai bercermin bagi memelihara kesan tapak kaki Nabi Ibrahim.

Dalam pada itu, presiden menerusi Twitter turut memaparkan beberapa gambar lokasi itu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Ia turut menjelaskan bahawa Makam Nabi Ibrahim terletak di depan pintu Kaabah, iaitu antara 10 hingga 11 meter di timur Kaabah, di bahagian menghala ke Safa dan Marwah.

Selain itu, ia mengatakan makam itu adalah tapak arkeologi di mana Nabi Ibrahim berdiri ketika pembinaan dinding Kaabah semakin tinggi.

Bentuk batu itu hampir segi empat dan berukuran 40 cm panjang, manakala lebar dan tingginya masing-masing kira-kira 20 cm.

Warnanya adalah kekuningan dan putih kemerahan. Bekas tapak kaki itu di tengah batu berkenaan. Panjang bekas tapak kaki itu di permukaan batu itu adalah 27 cm dan lebarnya, 14 cm.


Menurut kepercayaan Islam, Allah menurunkan Batu Hitam dan batu makam itu dari syurga kepada Nabi Ibrahim serta Nabi Ismail, selepas mereka diarahkan untuk mengangkat tapak Kaabah.

Batu itu mempunyai kesan dua bekas tapak kaki dan menurut sejarah, ia kekal di sisi Kaabah sebagai antara mercu tanda utama Makkah.

Ketika Nabi Muhammad SAW menawan Makkah, baginda dan sahabat memutuskan untuk memindahkan batu itu sejauh 10 meter.

Ia untuk umat Islam memudahkan urusan melakukan tawaf dan menunaikan solat di belakang batu itu, seperti yang terkandung dalam al-Quran.

Dikuasakan oleh Blogger.